AM

SELESAIKAN MOBILISASI PETUGAS KESIHATAN, ELAK ISU KEKURANGAN JADI KRITIKAL - CUEPACS

05/08/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) diharap dapat memperkukuh lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan bagi mengelak kekurangan pekerja di sesuatu lokasi menjadi kritikal.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata ia susulan langkah Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat, Selangor yang mengehadkan tempoh cuti bersalin pegawai perubatan di daerah itu kepada 60 hari akibat kekurangan petugas.

Adnan berkata pengalaman ketika Malaysia menghadapi situasi penularan COVID-19 sebelum ini yang hampir melumpuhkan fasiliti kesihatan negara wajar dijadikan pengajaran kepada kerajaan untuk memperkukuh lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan pelbagai peringkat.

“(Walaupun) dari segi undang-undang, perkara itu (mengehadkan cuti bersalin kepada 60 hari) memang tidak menyalahi peraturan sedia ada, tetapi dari sudut kebajikan kita sebenarnya telah menidakkan hak pekerja terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CUEPACS katanya, menggesa KKM menyelesaikan segera masalah kekurangan petugas kesihatan di fasiliti kesihatan kerajaan yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan kesihatan negara, selain mengabaikan kebajikan warga kerjanya.

Pada masa sama, Adnan berkata walaupun Jabatan Kesihatan Negeri memberi jaminan untuk mempertimbangkan sebarang permohonan mendapatkan cuti bersalin tambahan secara bersendiri, CUEPACS bimbang wujudnya elemen pemaksaan terhadap pegawai awam terbabit.

Beliau berkata hal ini kerana kelulusan itu tertakluk pada kepentingan perkhidmatan dan pertimbangan ketua jabatan yang bersifat subjektif.

“Usaha untuk mempercepat pengisian kekosongan jawatan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan petugas kesihatan tidak dikerah bertugas lebih masa demi menampung kekurangan itu. CUEPACS tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan ini diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

“Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial yang sihat dan mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian juga,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan PKD Hulu Langat telah menetapkan cuti bersalin selama 60 hari bagi pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan daerah berkenaan sejak 27 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Ummi Kalthom Shamsudin pada Sabtu lepas berkata keputusan untuk meluluskan penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari berikutan kekurangan pegawai perubatan di PKD Hulu Langat itu dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan cuti bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai, di samping beberapa pegawai perubatan yang diarahkan melapor diri ke PKD Hulu Langat telah menolak penempatan yang diberikan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan