AM

PM ANWAR IKTIRAF PERANAN PENJAWAT AWAM TINGKAT KEJAYAAN NEGARA

05/08/2024 10:46 AM

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf peranan penting yang dimainkan penjawat awam dalam usaha membantu meningkatkan prestasi dan menjamin kejayaan negara.

Beliau berkata kerajaan bersyukur kerana sejak kebelakangan ini negara banyak mendapat pengiktirafan dengan merekodkan kemajuan dari segi ekonomi dan pertumbuhan termasuk pengukuhan ringgit baru-baru ini.

"Kejayaan ini tentu kerana politiknya lebih stabil, kemudian dasar dan kerangka lebih jelas, tetapi satu elemen sangat penting untuk dijelaskan ialah kerana kita mempunyai budaya tradisi perkhidmatan awam yang banyak berusaha membantu meningkatkan prestasi, menjamin kejayaan (negara).

“Walaupun tidak banyak diuar-uarkan tetapi itu kenyataannya," katanya dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Anwar berkata walaupun merekodkan banyak kejayaan namun penjawat awam perlu bersikap tawaduk dan sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan dan memperbaiki kelemahan untuk mencapai prestasi lebih baik.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu ringgit terus mendapat sokongan yang baik dan mengekalkan momentum meningkatnya selama 11 hari berturut-turut berbanding dolar AS apabila pelabur memindahkan pelaburan mereka ke rantau Asia Pasifik berikutan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lemah pada Jumaat lepas, kata penganalisis.

Pada 8 pagi ini, ringgit naik kepada 4.4930/5010 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 pada Jumaat lepas. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan