SUKAN

PARIS 2024: ZII JIA SUMBANG GANGSA KEDUA MALAYSIA

05/08/2024 11:06 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 5 Ogos (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menghadiahkan pingat gangsa kedua bagi Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu, berjaya meraih pingat sulungnya di Olimpik selepas menundukkan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11 selepas pertarungan selama 71 minit pada aksi penentuan gangsa di Porte de La Chapelle Arena.

Lakshya, pemain di kedudukan ke-22 dunia, menguasai perlawanan dari awal untuk mudah memenangi set pertama semasa Zii Jia yang masih mencari rentak.

Zii Jia yang ketinggalan 3-8 pada set kedua menunjukkan kebangkitan untuk mengutip sembilan mata berturut-turut bagimendahului 12-8, seterusnya memenangi set berkenaan. 

Pada set penentuan, Zii Jia yang menduduki ranking ketujuh dunia, tidak berdepan masalah besar untuk mengatasi Lakshya dengan terpaksa beraksi dengan balutan di tangan kanannya. 

Kemenangan itu juga membantu Zii Jia merapatkan rekod pertemuan menentang Lakshya selepas hanya memenangi satu daripada lima pertemuan antara mereka sebelum ini, selain memadam hasrat pemain itu untuk muncul pemegang pingat lelaki pertama India dalam badminton.

Zii Jia terpaksa beraksi dalam penentuan gangsa selepas tumpas 14-21, 15-21 kepada juara dunia 2023 Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada separuh akhir semalam, manakala Lakshya kalah kepada juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark 22-20, 21-14.

Semasa penampilan sulungnya pada temasya Tokyo 2020, Zii Jia tewas kepada jaguh China, Chen Long pada peringkat 16 terakhir.

Zii Jia kini menjadi pemain perseorangan lelaki ketiga Malaysia untuk meraih pingat di Olimpk selepas pencapaian gangsa Datuk Rashid Sidek di Atlanta 1996, manakala Datuk Lee Chong Wei meraih tiga perak berturut-turut di edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Semalam, pingat pertama negara disumbangkan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan