EKONOMI

DASAR EKONOMI BERTANGGUNGJAWAB PACU KEKUATAN RINGGIT - PM ANWAR

06/08/2024 11:55 AM

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Kekuatan ekonomi domestik serta langkah-langkah yang diambil Kementerian Kewangan, jabatan dan agensi di bawahnya memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan kekuatan ringgit, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata.

Beliau berkata kedudukan domestik dan kekuatan ringgit pada masa ini sangat memberansangkan walaupun keadaan geopolitik di peringkat global amat membimbangkan.

“Kalau kita lihat angka-angka, prestasi (pergerakan) ringgit hari ini terbaik ketimbang 14 tahun lepas, ia sangat membanggakan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini hari ini.

Pada 2 Ogos, ringgit berada pada 4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutupan.

Ia meningkat 1.6 peratus berbanding dolar AS selepas mencatatkan kenaikan selama 10 hari berturut-turut, prestasi terbaik dicatatkan sejak 2010.

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini disebabkan prospek penurunan kadar faedah AS semakin ketara.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4200/4300 berbanding dolar AS daripada 4.4240/4305 pada Isnin.

Anwar juga Menteri Kewangan berkata keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang disifatkan sebagai langkah tidak popular turut membantu meningkatkan keyakinan pelabur untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.

“Maknanya...kalau nak melabur, Saudara tahu dasar itu bertanggungjawab, maknanya tidak ada ketirisan dan bila ada Akta Tanggungjawab Fiskal, penyasaran subsidi ayam dan tarif elektrik menyebabkan orang ramai tahu bahawa ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bersedia mengambil tindakan tidak popular untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan dapat menjimatkan lebih RM4 bilion, ia sudah terbukti kerana ketegasan kerajaan melaksanakan program penyasaran subsidi.

Menolak penyasaran subsidi adalah langkah kurang bijak, semua Perdana Menteri sebelum ini setuju hentikan ketirisan, katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri mahu Unit Komunikasi MoF lebih agresif dan proaktif untuk menjelaskan kepada rakyat fakta sebenar mengenai penyasaran subsidi.

“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana tidak mengerti kerana kadang-kadang kita tidak memainkan peranan untuk mendidik mereka, (memberi) pencerahan mengenai ekonomi,” katanya.

Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan kira detik Mesyuarat ASEAN 2025 Trek Kewangan MoF sebagai peneraju Trek Kewangan ASEAN akan mempengerusikan empat mesyuarat berkaitan. 

Tahun depan, Malaysia sekali lagi akan menjadi Pengerusi ASEAN selepas mempengerusikannya pada 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan