AM

BEKAS PESAKIT KANSER BERHENTI KERJA JAGA IBU HIDAP DEMENSIA

06/08/2024 04:42 PM

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang juga bekas pesakit kanser prostat terpaksa berhenti kerja di sebuah hotel demi menjaga ibunya yang menghidap demensia atau nyanyuk sejak tiga tahun lepas.

Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong, 41, dari Kampung Kubang Panjang di sini terpaksa berbuat demikian demi menjaga keselamatan isteri, dua anak serta ibunya sendiri, Siah Jusoh, 65.

Dia berkata walaupun kelihatan normal, ibunya sering melakukan perbuatan pelik dan berbahaya seperti lupa menutup api dapur gas dan membiarkan peralatan tajam berselerak di dalam rumah.

"Isteri saya tidak bekerja, tetapi susah untuk dia menjaga ibu kerana dalam keadaan seperti itu ibu hanya mahu mendengar kata saya sahaja. Jika ditegur isteri, ibu akan berjemur di tengah panas selama berjam-jam hingga memudaratkan kesihatannya.

"Perkara ini amat merisaukan kami kerana dia juga menghidap penyakit kencing manis yang teruk dan darah tinggi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Panjang di sini. 

Wan Mohd Khairu Effendy berkata disebabkan mahu menjaga ibunya, dia kehilangan punca pendapatan dan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), wang zakat dan ihsan orang ramai.

Dia juga tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik yang kini mencecah lebih RM1,000.

"Dulu saya pernah bekerja di hotel di Kuala Lumpur, tetapi selepas diserang penyakit kanser tahap tiga saya terpaksa berhenti kerja kerana sering cuti sakit dan pada masa sama kerap pulang ke kampung untuk menjaga ibu.

"Lebih teruk saya juga menghidap penyakit kencing manis yang serius dan perlu suntik insulin empat kali sehari. Sejujurnya, saya memang tidak mampu buat kerja berat kerana cepat letih dan tidak bertenaga," katanya.

Wan Mohd Khairu Effendy berkata dalam keadaan sebegitu, dia amat buntu apabila memikirkan nasib keluarga kerana kos sara hidup yang semakin tinggi, apatah lagi setiap bulan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM600 untuk susu, lampin pakai buang dan ubat-ubatan ibunya.

"Wang JKM emak hanya RM200 sebulan memang tak cukup untuk perbelanjaan dia. Belum lagi makan, minum kami anak beranak dan pelbagai hutang lama yang tertunggak sebab sakit. Jadi, saya terpaksa mencari wang lain untuk menampung perbelanjaan,” katanya.

Dia berkata masalah itu turut menjejaskan persekolahan anak perempuannya Wan Nur Ariana Sofia, 8, tahun yang sudah lima bulan tidak bersekolah.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan