AM

JAWATANKUASA KHAS TERTINGGI SETUJU KAJI KEBERKESANAN PPAM - MOHD ZUKI

06/08/2024 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Khas Tertinggi Perumahan Penjawat Awam (PPAM) bersetuju agar satu kajian dilaksanakan bagi menilai keberhasilan dan keberkesanan pelaksanaan skim itu.  

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berharap kajian itu akan memberi tumpuan kepada aspek harga yang mampu dimiliki, lokasi strategik, kualiti perumahan baik dan kemampanan pelaksanaan agar seiring dengan Agenda Pembangunan Matlamat Mampan (SDG) dan konsep MADANI. 

“Pendekatan yang lebih inklusif dan menyeluruh dengan mendengar sendiri keperluan dan permintaan daripada penjawat awam dan diimbangi dengan penawaran rumah daripada pemaju perumahan swasta.

“Selain membantu penjawat awam memiliki rumah, diharap program ini akan turut memberikan kesan limpahan kepada ekonomi negara khususnya industri perumahan dan pembinaan di satu-satu kawasan khususnya menyediakan peluang pekerjaan dan menggalakkan aktiviti perniagaan sampingan yang berkaitan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran PPAM Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini. 

Dalam ucapan itu, Mohd Zuki mengakui masih ramai dalam kalangan penjawat awam, terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana sedang bergelut dengan kenaikan harga rumah.

Beliau berkata ini kerana berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), purata kadar kenaikan harga rumah antara 2019 hingga 2023 khususnya di bandar-bandar utama di seluruh negara adalah agak tinggi iaitu sekitar 15 hingga 28 peratus. 

“Cabaran seperti ini menekan mereka untuk membeli rumah pada harga mampu milik yang sepadan dengan pendapatan bulanan masing-masing.

“Maka, penyediaan rumah mampu milik termasuklah Perumahan Penjawat Awam amat bermakna kepada kumpulan rakyat khasnya penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Justeru, beliau mewakili seluruh penjawat awam merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang sentiasa memberi perhatian dan komited untuk memastikan setiap penjawat awam berpeluang memiliki kediaman yang baik dan selesa.

Mohd Zuki berkata ini termasuk kelulusan peruntukan sebanyak RM249 juta bagi program PPAM di seluruh negara dalam pembentangan Belanjawan 2024, sebagai imbalan terhadap usaha dan jasa bakti penjawat awam. 

Beliau berkata menerusi program itu, sebanyak 211 projek dengan 33,133 unit rumah PPAM telah siap dibina sehingga 31 Julai lepas, manakala 38 projek dengan 9,029 unit dalam pembinaan dan 33 projek dengan 12,124 unit pada peringkat perancangan.

“Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berdasarkan rekod dalam sistem PPAM, terdapat 55,014 permohonan yang diterima daripada penjawat awam untuk membeli rumah di sini. 

“Walaupun angka permohonan yang begitu tinggi, buat masa ini hanya terdapat 7,038 unit rumah PPAM yang dapat disediakan di Kuala Lumpur dan jumlah penyediaan rumah PPAM di Kuala Lumpur adalah masih jauh lebih rendah berbanding permohonan yang diterima,” katanya. 

Justeru, beliau berkata pembangunan PPAM di sini wajar dan amat diperlukan memandangkan harga pasaran rumah yang terlalu tinggi dan tidak mampu untuk dibeli oleh kebanyakan penjawat awam.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan