AM

OKU HIDAP HIDROSEFALUS GIGIH BERNIAGA CARI REZEKI

06/08/2024 11:18 AM

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos (Bernama) -- Kecacatan fizikal bukan menjadi alasan kepada Muhammad Akhir Abdul Aziz, 40, untuk berpeluk tubuh dan hanya mengharapkan bantuan bagi meneruskan hidup.

Sebaliknya, dia yang berasal dari Kampung Sungai Rengas di sini menjadikan kekurangan itu sebagai motivasi untuk membuktikan kemampuannya berdikari tanpa mengharapkan belah ihsan sesiapa.

Muhammad Akhir berkata dia menghidap penyakit hidrosefalus (lebihan cecair dalam otak) sejak lahir hingga menyebabkan saiz kepalanya lebih besar berbanding manusia normal.

Dia berkata selepas tiga kali pembedahan keadaannya menunjukkan perubahan positif namun masih tidak mampu melakukan kerja berat seperti orang lain.

"Sebagai orang kurang upaya (OKU), saya memang mendapat bantuan sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Tetapi bantuan tersebut pastinya tak cukup untuk menampung hidup pada masa sekarang. Jadi, saya mengambil inisiatif berniaga barang runcit secara kecil-kecilan menggunakan motosikal roda tiga sejak Mac lepas," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Rengas hari ini.

Muhammad Akhir berkata setiap bulan dia mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 hasil jualan pelbagai barangan seperti mi segera, makanan ringan, cerek, kipas kecil dan minuman.

Dia akan keluar berniaga di sekitar taman perumahan, sekolah, masjid dan kawasan kampung seawal 11 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.

"Masyarakat setempat amat baik dan menyokong perniagaan saya. Ibu bapa akan hubungi saya untuk dapatkan makanan dan minuman ringan kerana mereka berpendapat dengan cara ini anak-anak lebih lebih selamat dan tidak perlu keluar rumah," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan