EKONOMI

BAYARAN BERSAMA INSURANS PERUBATAN LEBIH FLEKSIBEL, TELUS - LIAM

06/08/2024 04:19 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 6 Ogos (Bernama) -- Peraturan baharu mengenai keperluan pembayaran bersama bagi produk insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) bertujuan menawarkan pengguna dengan premium rendah, telus serta lebih fleksibel.

Peraturan baharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkuat kuasa 1 Sept ini, telah mencetuskan kekeliruan, justeru peneraju industri sedang berusaha untuk menyelesaikan aspek itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O'Dell mengulas kebimbangan mengenai peraturan pembayaran bersama baharu itu, sambil menekankan bahawa pembayaran bersama bukan konsep baharu.

“Pembayaran bersama telah menjadi sebahagian daripada polisi insurans sejak sekian lama. Peraturan baharu itu bertujuan memperluas pilihan pengguna, bukan mengenakan kos mandatori,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata di bawah garis panduan baharu itu, syarikat insurans dikehendaki mengemukakan sekurang-kurangnya satu pilihan pembayaran bersama, dengan pelan sedia ada mereka.

O'Dell berkata perubahan itu bertujuan menyediakan pengguna dengan pilihan premium yang lebih rendah sebagai pertukaran untuk berkongsi sebahagian daripada kos perubatan mereka.

“Peraturan itu mewajibkan syarikat insurans menawarkan pilihan pembayaran bersama dan memaklumkan kepada pengguna berhubung perkara itu.

“Langkah ini memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai, sama seperti memilih antara syarikat penerbangan tambang rendah dan sesuatu yang premium untuk perjalanan,” katanya.

Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan adalah kekurangan had kepada pilihan pembayaran bersama lima peratus. Sebahagian pihak bimbang sekiranya tanpa had, mereka boleh berdepan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, O'Dell berkata syarikat insurans di bawah LIAM akan mengenakan had terhadap pembayaran bersama.

Beliau berkata misalnya kadar lima peratus, mungkin hanya dikenakan kepada RM10,000 atau RM15,000 pertama dalam perbelanjaan perubatan, bergantung kepada syarikat.

“Ahli kami telah menetapkan had untuk mengelakkan tekanan kewangan kepada pengguna. Matlamatnya adalah untuk menjadikan insurans lebih mampu milik di samping menggalakkan tingkah laku pengguna pintar,” kata O'Dell.

Peraturan baharu ini meliputi peruntukan untuk melindungi pengguna daripada tekanan kewangan semasa kecemasan dan bagi rawatan kritikal.

“Pembayaran bersama akan dikecualikan untuk rawatan kecemasan, rawatan susulan untuk penyakit serius seperti kanser atau dialisis, dan rawatan di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan.

"Pengecualian ini memastikan penjagaan utama dan keadaan yang mengancam nyawa boleh terus diakses tanpa kos tambahan kepada pesakit," katanya.

O'Dell memberi jaminan walaupun terdapat kebimbangan mengenai impak berpotensi ke atas syarikat insurans, pengenalan pilihan pembayaran bersama ini dijangka memberi kesan positif.

“Walaupun sesetengah syarikat mengalami kerugian, model pembayaran bersama merupakan alat strategik untuk menarik pelanggan dan menawarkan premium lebih rendah kepada mereka.

“Dengan meluaskan perlindungan dan pilihan insurans, kami boleh menjangkau lebih ramai individu dan menyediakan perkhidmatan bernilai pada kadar lebih berpatutan,” katanya.

Peraturan pembayaran bersama turut mendorong pengguna untuk terlibat dalam kos penjagaan kesihatan dan memastikan ketelusan bil.

“Kami mahu pengguna menyemak bil perubatan mereka untuk mengelakkan caj berlebihan dan rawatan tidak diperlukan. Semakan ini memberi manfaat kepada pengguna dan sistem penjagaan kesihatan,” kata O'Dell.

Berikutan industri bersedia kepada pelaksanaan peraturan baharu ini, pihak berkepentingan memberi tumpuan untuk mendidik pengguna bagi memastikan peralihan yang lancar dan memaksimumkan faedah daripada pilihan pembayaran bersama ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan