AM

PPS DITUTUP, BANJIR DI HULU BERNAM PULIH

06/08/2024 05:38 PM

SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Sekolah, Sungai Selisek di Hulu Bernam ditutup pada 2.10 petang tadi selepas 143 mangsa banjir yang ditempatkan di situ dibenarkan pulang.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor memaklumkan kesemua mangsa melibatkan 50 keluarga daripada enam buah kampung itu dipindahkan ke PPS berkenaan sejak dua hari lepas selepas kediaman mereka dilanda banjir.

Semua mangsa dibenarkan pulang setelah paras air di kawasan berkenaan surut sepenuhnya dan kerja-kerja pembersihan yang dilakukan secara gotong-royong oleh pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan selesai.

Enam kawasan kampung yang terlibat ialah Kampung Sungai Selisek, Serigala, Sungai Nilam, Sekolah, Masjid dan Paya Lebar.

-- BERNAMA 



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan