AM

KERETA API, PENGANGKUTAN AIR KELAINAN KMJG 2024 SABAH

07/08/2024 01:35 PM

KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) -- Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Negeri Sabah membuat kelainan tahun ini apabila menggunakan kereta api dan pengangkutan air, selain jalan raya pada jelajah yang bermula esok (8 Ogos).

Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor berkata pada 13 Ogos, KMJG dijadual menggunakan tiga gerabak kereta api bagi perjalanan dari Pangi ke Tenom, selain peserta kembara juga akan melaksanakan program khidmat kemasyarakatan di situ.

“Menariknya, Pangi ke Tenom antara kawasan yang kereta api satu daripada pengangkutan utama. Hal ini diharapkan akan menjadi pengalaman istimewa buat peserta KMJG dan penduduk di sana,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jainisah berkata pengangkutan air pula akan melibatkan perjalanan di daerah Sandakan pada 20 Ogos, yang antara lain turut menyantuni penduduk di Kampung Tanjung Aru menerusi pelbagai aktiviti dalam komuniti, serta anggota keselamatan di Pulau Berhala.

KMJG 2024 di Sabah secara keseluruhannya akan menelusuri semua 25 daerah selepas bermula di Penampang, melibatkan perjalanan sejauh 2,400 kilometer selama 20 hari dengan 60 hentian dan disertai 60 peserta serta 18 kenderaan dari 14 jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan dan negeri. 

Antara yang terlibat ialah agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta kerajaan negeri iaitu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sekretariat Sabah Maju Jaya.

Mengulas lanjut, Jainisah berkata selain mengedarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah, KMJG  juga membawa mesej perpaduan dan keharmonian supaya rakyat kekal bersatu padu untuk membangunkan Malaysia serta negeri lebih progresif.

“Kita ada program tertentu di setiap daerah seperti karnival mini, selain program tambahan di lokasi tertentu seperti mural Jiwa Merdeka di Membakut, wayang pacak di Tuaran dan e-sukan di Kota Belud dan Kalabakan.

“Selain itu, ada juga kenduri rakyat dan program keceriaan bersempena dengan Bulan Kebangsaan. Semuanya kita bawakan sama ada di bandar, desa atau pedalaman untuk menyemai rasa cintakan negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Jainisah berharap semua penduduk Sabah dapat sama-sama meraikan KMJG di kawasan hentian mereka bagi memeriahkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang tahun ini. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan