AM

KADAR AIR TIDAK TERHASIL PERLIS MENURUN KEPADA 60.73 PERATUS SETAKAT JUN

07/08/2024 02:21 PM

KANGAR, 7 Ogos (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu kadar air tidak terhasil (NRW) bagi negeri itu merekodkan penurunan iaitu daripada 62.48 peratus pada tahun lepas menurun kepada 60.73 peratus setakat Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan Awam, Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Perlis Izizam Ibrahim berkata pelancaran Pogram “We Care” pada awal tahun 2024 dengan Syarikat Air Perlis (SAP) bergerak agresif untuk membaiki kebocoran paip air yang dikesan menyumbang kepada penurunan kadar itu.

“Seperti sedia maklum, untuk menurunkan NRW lebih drastik, peruntukan besar diperlukan. Dengan keadaan kewangan SAP sekarang yang defisit, program NRW secara holistik tidak dapat dilaksanakan.

“Namun demikian, SAP terus mengambil langkah dengan memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat melalui kerajaan negeri,” katanya ketika menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) dalam sesi soal jawab pada persidangan DUN itu di sini hari ini.

Saad ingin tahu berapa peratus air terbuang yang dapat diatasi pihak SAP sejak tahun 2022 sehingga kini.

Izizam berkata diharapkan dengan bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan, kadar NRW di Perlis dapat diturunkan dan memberikan manfaat kepada rakyat negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan