AM

KERAJAAN PERLIS LULUS 12 PELABURAN BERNILAI RM2 BILION SEJAK NOVEMBER 2022

07/08/2024 01:08 PM

KANGAR, 7 Ogos (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu kerajaan negeri telah meluluskan 12 pelaburan baharu di negeri itu dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion sejak November 2022.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata daripada jumlah itu, tujuh syarikat telah diluluskan untuk pelaburan di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.75 bilion yang merangkumi sektor pembuatan, perindustrian serta sektor tenaga boleh diperbaharui iaitu solar.

“Kerajaan negeri tidak hanya melihat pada jumlah ringgit yang dibawa masuk oleh pelabur, tetapi juga mempertimbangkan kesan limpahan ekonomi yang lebih besar kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) dalam sesi soal jawab pada persidangan DUN itu di sini hari ini.

Saad ingin tahu jumlah pelabur yang telah diterima kerajaan negeri sehingga ini, nilai yang terlibat dengan CVIA dan berapa jumlah Ringgit Malaysia yang telah diperoleh daripada pelaburan itu.

Mohd Shukri berkata antara aspek yang diambil kira adalah seperti pewujudan peluang pekerjaan dan perniagaan kecil hasil daripada permintaan tenaga kerja industri, serta peluang untuk mewujudkan pusat pertumbuhan baharu di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri amat optimis dan yakin akan menerima lebih banyak pelaburan baharu dalam tempoh tiga tahun ini melalui usaha dan kerjasama berterusan daripada agensi berkaitan serta sokongan semua wakil rakyat dalam melaksanakan perubahan ekonomi Perlis.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan