JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS LABUAN TAHAN 333 INDIVIDU DALAM SERBUAN DADAH DARI JANUARI-JULAI

07/08/2024 03:05 PM

LABUAN, 7 Ogos (Bernama) -- Polis menahan sejumlah 333 individu di pulau bebas cukai ini menerusi serbuan membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah dari Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata melalui operasi tersebut, polis turut merampas pelbagai dadah seberat 368.21 gram dan aset bernilai RM44,156.

Beliau berkata lima daripada individu yang ditahan menghadapi pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

“Kami merekodkan lebih banyak individu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, iaitu 259 kes.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Hamizi berkata dadah yang dirampas termasuk methamphetamine (syabu), ganja, dan ecstasy.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan