AM

MALAYSIA DI LANDASAN CAPAI HASIL RM3.6 BILION DALAM INDUSTRI PUSAT DATA PADA 2025 - TEO

07/08/2024 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Sasaran Malaysia untuk meraih hasil RM3.6 bilion daripada industri pusat data pada 2025 berada di landasan yang betul, berdasarkan isyarat positif daripada peserta industri.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata keyakinan itu berasaskan pelaburan besar melibatkan pembangunan pusat data mula dilaksanakan ditambah dengan usaha memperluas operasi oleh syarikat sedia ada.

“Kita dapat melihat lebih ramai pihak (dari industri pusat data) datang ke negara ini untuk pelaburan ekonomi digital dan ramai (peserta) pusat data sudah berada di sini turut mengembangkan operasi mereka.

“Sebahagian mereka telah bertemu dengan saya, seperti GDS IDC Services (M) Sdn Bhd, dan memaklumkan mereka akan menggandakan pelaburan di Malaysia. Oleh itu, saya percaya kita kini berada di landasan yang betul, dengan faktor dan isyarat positif yang kita terima,” katanya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Teknologi Awan dan Pusat Data di sini.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan menyasar untuk memperoleh hasil RM3.6 bilion daripada industri pusat data pada 2025 berbanding RM2.09 bilion pada 2022.

Teo berkata langkah mewujudkan ekosistem untuk pusat data dan perkhidmatan awan juga membawa kepada peningkatan bilangan pembekal industri itu di negara ini.

“Apabila kita mempunyai bilangan peserta pusat data yang mencukupi di Malaysia, yang kita miliki sekarang, pembekal mereka juga akan berminat datang ke Malaysia.

“Ini merupakan peluang bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia, dan pada masa sama memastikan Malaysia akan menjadi peneraju dalam ekonomi digital di Asean,” katanya.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucaptama Teo berkata Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM114.7 bilion dalam pusat data dan perkhidmatan awan dari 2021 hingga 2023, mewujudkan lebih 2,325 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang khusus.

Selain itu, pelaburan berkaitan pusat data bernilai RM76 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dari 2021 hingga Mac 2024.

“Google, Amazon Web Services, ByteDance Systems, Bridge Data Centres, GDS ICD dan YTL Data Centre Malaysia membuat pelaburan besar dalam membina pusat data di Malaysia, seterusnya menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi kita,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan