AM

PENGGANTI KSN DIUMUM PETANG INI - FAHMI

07/08/2024 04:07 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan mengeluarkan kenyataan media berhubung pengganti Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada Mohd Zuki atas tahap profesionalisme dan komitmen ditunjukkan beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KSN.

“Perdana Menteri telah merakamkan tahap profesionalisme cukup yang tinggi, komitmen dan semangat setiakawan yang ditunjukkan Mohd Zuki. Bagi pihak Jemaah Menteri, kami ucap tahniah dan selamat maju jaya.

“Insya-Allah, Pejabat Perdana Menteri akan terbitkan kenyataan tentang pengganti beliau,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata mesyuarat Kabinet hari ini adalah hari terakhir Mohd Zuki bertugas sebagai Setiausaha Kabinet. 

Mohd Zuki, 62, dilantik sebagai KSN sejak 31 Dis 2019 dan dilantik semula memegang jawatan itu secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di beberapa kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mohd Zuki juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri, serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan