AM

PENGGUNAAN SISTEM DIGITAL LANCARKAN PERSIDANGAN DEWAN - JOHARI

07/08/2024 06:58 PM

ALOR SETAR, 7 Ogos (Bernama) -- Penggunaan sistem digital dilihat penting dalam mentransformasikan perjalanan persidangan Dewan Rakyat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Johari berkata penggunaan sistem digital bagi menguruskan aturan dewan khususnya berkaitan soalan daripada wakil rakyat mampu memudahkan persidangan serta menjimatkan kos.

“Saya pernah menjadi wakil rakyat di Kedah dan apa yang diperkenalkan di negeri ini, soalan-soalan akan dimasukkan secara terus ke dalam sistem, jadi ia lebih cepat. Idea daripada Kedah itu saya bawa dan sepadankan dengan urusan di Parlimen.

“Urusan melibatkan soalan tambahan dan pemberian jawapan semasa persidangan juga menjadi lebih cepat. Kalau zaman dulu mungkin tiga minggu baru dapat jawapan, sekarang ini boleh dapat dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Johari berkata di peringkat DUN, Kedah dan Selangor merupakan antara negeri yang telah menggunakan sistem digital yang boleh dijadikan contoh kepada DUN di negeri lain untuk melancarkan urusan mesyuarat.

Beliau berkata penggunaan sistem digital dalam sidang Parlimen dan DUN menjadi antara topik yang akan dibincangkan pada Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 di Kuching, Sarawak pada 11 hingga 14 Sept ini.

Pada Januari lepas, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan sistem eHantar merupakan antara usaha terkini Parlimen untuk mendigitalkan urusan dewan serta meningkatkan mutu perbahasan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Melalui sistem itu pertanyaan bagi jawab lisan dan bukan lisan, Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), serta usul Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17 boleh dihantar melalui sistem berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan