EKONOMI

ECERDC LEPASI PENCAPAIAN PELABURAN RM10 BILION, SASAR RM15 BILION MENJELANG HUJUNG TAHUN

07/08/2024 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersedia mencapai pelaburan direalisasikan sebanyak RM15 bilion, menjelang Disember 2024, melepasi sasaran awal tahun ini sebanyak RM10 bilion.

"Kami mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap tahun dan dua daripada KPI utama kami adalah untuk komited dan merealisasikan pelaburan. Kami telah melepasi sasaran awal, namun masih belum berpuas hati dengan kejayaan itu.

"Kami juga merangka pelan dan program yang boleh membantu kami mencapai wawasan kami sehingga 2030, di bawah Pelan Induk ECER (EMP) 3.0 dan meningkatkan aliran masuk pelaburan ke Pantai Timur," kata Ketua Pegawai Operasi Majlis Pembangunan ECER Datuk Ragu Sampasivam.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Bernama TV "The Nation: ECER - Closer Than You Think".

Ragu berkata dengan rancangan tersebut ECERDC bersedia untuk meningkatkan pembangunan ekonominya dan menarik pelaburan yang berterusan, sekali gus membuka jalan pertumbuhan mampan pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, mengenai peluang pelaburan khusus yang ada dalam ECER, beliau berkata koridor ekonomi itu membuka ruang kepada pelabur merentasi pelbagai sektor, termasuk pembangunan perindustrian, pertanian, infrastruktur, pelancongan dan pembangunan mampan.

“Pelaburan industri utama tertumpu di sekitar taman tematik, seperti Taman Automotif Pekan, yang menempatkan jenama terkenal seperti Mercedes. Tidak ketinggalan, Taman Biopolimer Kerteh, yang memfokuskan pada produk kimia hiliran, dan mendapat manfaat daripada Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh yang dikendalikan Petroliam Nasional Bhd.

“Pelancongan merupakan satu lagi tumpuan utama, dengan infrastruktur baharu seperti Laluan Rel Pantai Timur dan Laluan Lingkaran Tengah Utama, yang dijangka mampu meningkatkan kebolehsampaian rantau ini menjelang 2026,” katanya.

Ragu berkata ECERDC sedang membangunkan taman kenderaan rekreasi (RV) untuk menarik pelancong yang berminat dengan aktiviti RV, dengan menawarkan laluan indah pesisir pantai ke Taman Negara, merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Satu lagi cabang pelaburan ialah pertanian, dengan koridor itu bertindak sebagai sebagai bakul makanan negara. Program Pengeluaran dan Sumber Bersepadu (IPR) baru-baru ini turut menyerlahkan peluang dalam keterjaminan makanan dan projek pertanian, katanya.

“Selain itu, ECER sedang meneroka inisiatif pemerangkapan karbon bertujuan untuk menyokong industri yang menekankan kemampanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan