AM

SIDANG KEMUNCAK MCY 2024 JADI TUMPUAN PEMAIN INDUSTRI ANTARABANGSA

07/08/2024 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 kini bukan sahaja menjadi platform mengkomersialkan inovasi perkhidmatan penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) bakat tempatan tetapi turut mendapat tumpuan pemain industri antarabangsa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata setiap tahun, beberapa syarikat antarabangsa dari Asia dan Eropah menyertai sidang kemuncak itu kerana tertarik dengan kualiti peserta dan usahawan yang mengambil bahagian serta produk bermutu tinggi yang ditampilkan.

“Sebab itu, setiap tahun mereka sudi datang hanya untuk mencari produk-produk yang boleh dibawa ke pasaran.

“Penganjuran sidang kemuncak kali ini akan mengetengahkan produk, teknologi serta R&D&I dalam sektor bioteknologi, perubatan dan teknologi angkasa,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Sidang Kemuncak MCY 2024’ terbitan Bernama TV malam ini. 

Beliau berkata sejak penganjuran MCY pada 2016 hingga kini, banyak pencapaian direkodkan termasuk mengkomersialkan sebanyak 474 produk bernilai RM540 juta.

“Nilai ini adalah satu jumlah yang besar dan agak signifikan untuk ekonomi negara bahkan ia terus berkembang. Jadi, penganjuran sidang kemuncak ini menjadi antara cara membantu ekonomi negara di samping membangunkan ekosistem penyelidikan dan pembangunan dalam negara,” katanya.

Chang berkata sidang kemuncak yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bakal menyaksikan sekurang-kurangnya enam memorandum persefahaman (MoU) dimeterai serta padanan perniagaan.

Selain itu, Majlis Anugerah MCY yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta turut diadakan melibatkan lima ketegori iaitu Anugerah Keseluruhan, Anugerah Pencapaian Pengkomersialan, Anugerah Inovator Baharu, Anugerah Usahawan Penyelidik dan Anugerah Usahasama Penyelidikan.

Dalam pada itu, Chang berharap penganjuran sidang kemuncak kali ini yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat mengkomersialkan lebih banyak produk memandangkan produk yang akan dipamerkan kebanyakannya bernilai tinggi.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya hadir ke sidang kemuncak itu bagi melihat sendiri pelbagai produk dan inovasi yang akan ditampilkan penyelidik dan inovator.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan