AM

NEGERI SEMBILAN ANJUR KEMBARA AKAR UMBI SEMPENA HARI KEBANGSAAN

08/08/2024 01:10 PM

SEREMBAN, 8 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 300 motosikal dan kereta akan menjelajah tujuh daerah di Negeri Sembilan yang meliputi perjalanan sejauh 300 kilometer dalam Kembara Akar Umbi Negeri Sembilan pada 30 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Exco kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kembara yang akan bermula dari Seremban itu bertujuan menanam semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyemarakkan sambutan tahun ini.

"Di setiap persinggahan kembara yang membabitkan penyertaan 250 motosikal dan 50 kereta itu, akan diadakan aktiviti berkaitan kemerdekaan dengan memberi fokus kepada masyarakat setempat, terutama golongan muda, termasuk kempen kibar Jalur Gemilang.

"Kita akan berkumpul seawal 8 pagi di Kampung Pantai Seremban sebelum bergerak menuju Pantai Cahaya Negeri Port Dickson, kemudiannya kita ke Rembau dan solat Jumaat di Masjid As-Syakirin, sebelum ke Tampin," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kembara itu juga akan ke Dataran Tebat Kering, Kuala Pilah sebelum ke Jempol, dan acara penutup yang penuh meriah dirancang untuk diadakan di Dataran Jam, Kuala Klawang, Jelebu pada pukul 9 malam.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu itu berkata menerusi kembara itu peserta dan orang ramai diharapkan bukan sahaja lebih peka dalam menghayati erti kemerdekaan malah meningkatkan keyakinan dan sokongan kepada program serta dasar -dasar dalam Kerajaan MADANI.

Beliau berkata program berkenaan turut melibatkan pembabitan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.

"Kita harap rakyat Negeri Sembilan dapat sama-sama menghayati nikmat kemerdekaan ini, sekali gus mengekalkan semangat perpaduan, kedamaian dan kesejahteraan," katanya dan menambah antara aktiviti yang akan diadakan pada hari itu adalah Jamuan Rakyat dan Jualan Rahmah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan