AM

SEMARAK PERPADUAN RAKYAT, PASTIKAN KEDAULATAN NEGARA TERJAGA - EWON

08/08/2024 02:02 PM

PENAMPANG, 8 Ogos (Bernama) -- Perpaduan perlu terus disemarakkan bagi memastikan rakyat dapat bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara daripada pihak yang cuba mengancamnya, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia penting kerana sehingga hari ini masih ada pihak luar yang mahu menganggu gugat kedaulatan negara, sehingga ada yang berhasrat menuntut sebahagian daripada Sabah yang telah bersama-sama membentuk Malaysia sejak 16 September 1963.

"Kita lihat dan hayati banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemimpin kita pada 61 tahun yang lepas untuk memastikan kita mengecapi kebebasan. Namun tanpa kita sedar masih ada yang mahu menggugat kedaulatan negara

"Sebab itulah program seperti Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) penting untuk membangkitkan semangat patriotik. Semangat untuk mencintai negara serta mengingatkan kepada rakyat bahawa cabaran itu sentiasa ada dan akan ada sentiasa anasir yang mahu memecahkan kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Program KMJG Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 Peringkat Penampang di sini hari ini.

KMJG 2024 di Sabah secara keseluruhannya akan menelusuri semua 25 daerah selepas bermula di Penampang, melibatkan perjalanan sejauh 2,400 kilometer selama 20 hari dengan 60 hentian dan disertai 60 peserta, membabitkan penyertaan 18 kenderaan dari 14 jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan dan negeri. 

Antara yang terlibat ialah agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta kerajaan negeri iaitu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sekretariat Sabah Maju Jaya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan