JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA LELAKI DITAHAN DISYAKI TERLIBAT KES KHIANAT API DI BERCHAM

08/08/2024 09:06 PM

IPOH, 8 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki disyaki orang suruhan ceti haram bagi membantu siasatan insiden khianat membaling bom petrol atau ‘molotov cocktail’ terhadap sebuah rumah di Bercham di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kesemuanya yang berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun ditahan semalam selepas polis menerima satu laporan daripada mangsa berkaitan insiden itu.

“Ketiga-tiganya yang memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah serta positif terhadap dadah jenis Methamphetamine kini direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis percaya menyelesaikan beberapa kes khianat menggunakan api di sekitar bandar raya ini dengan penahanan mereka.

Azizi sehubungan itu menasihati orang ramai supaya mengelak dari membuat pinjaman menggunakan perkhidmatan peminjaman wang tidak berlesen atau tidak sah di sisi undang-undang.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan