JENAYAH & MAHKAMAH

KES CULIK ALBERTINE LEO: PENGANGGUR DIDAKWA ATAS 15 TUDUHAN

08/08/2024 04:15 PM

JOHOR BAHRU, 8 Ogos (Bernama) -- Seorang penganggur hari ini dihadapkan ke mahkamah atas 15 pertuduhan berkaitan kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui.

Leang Win Son, 31, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Mandarin.

Di dua Mahkamah Sesyen di sini, lelaki itu menghadapi lapan pertuduhan membabitkan penculikan, membuat kurungan salah dan amang seksual bukan fizikal ke atas kanak-kanak itu selain mengumpul dan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap mangsa.

Berdasarkan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasidah Roslee lelaki itu didakwa menculik Leo di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri di sini pada 8.30 malam, 20 Julai lepas mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa membuat pengurungan salah ke atas kanak-kanak itu di dalam bilik sebuah hotel di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada 4.45 pagi 23 Julai lepas mengikut Seksyen 346 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, Leang didakwa atas enam pertuduhan dengan empat daripadanya mengumpul 5,317 gambar dan video iaitu bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam dua kad SD, cakera keras dan telefon bimbit di sebuah rumah di Taman Sri Kulai dekat Kulai, pada 4 petang, 24 Julai lepas. 

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali, jika sabit kesalahan.

Sementara dua lagi pertuduhan, lelaki terbabit didakwa memiliki pornografi kanak-kanak iaitu 30 keping gambar penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam sebuah telefon bimbit di bilik sebuah hotel di Batang Kali, Hulu Selangor kira-kira pukul 4.45 pagi, 23 Julai lepas.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Leang turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal di bilik hotel yang sama antara 2.30 tengah hari 22 Julai lalu hingga 4.45 pagi 23 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif memberitahu mahkamah bahawa semua perbuatan di bawah seksyen yang dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin namun jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau mencadangkan jumlah keseluruhan RM160,000 bagi semua lapan pertuduhan.

Peguam Nur Zafirah Norizan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum atas faktor anak guamnya tidak bekerja dan ditanggung sepenuhnya oleh ibunya berusia 58 tahun, yang merupakan ibu tunggal serta tidak mempunyai pekerjaan dan gaji tetap.

Dua mahkamah itu kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM50,000 serta syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Sept ini bagi serahan dokumen.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Kulai, Leang mengaku tidak bersalah  terhadap tujuh pertuduhan memiliki bahan lucah di rumahnya di Taman Seri Kulai pada 4 petang 24 Julai lepas mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh diwakili peguam Nor Zafirah dan Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan