EKONOMI

ENOVIX DARI AS RANCANG LABUR RM5.8 BILION DI MALAYSIA

08/08/2024 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Enovix Corporation dari Amerika Syarikat yang merasmikan kemudahan pembuatan bateri berkapasiti tinggi pertamanya (Fab2) di Malaysia hari ini, merancang untuk melabur US$1.2 bilion (RM5.8 bilion) di negara ini dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kemudahan canggih itu adalah langkah besar bagi Malaysia dalam rantaian bekalan global untuk teknologi bateri maju, menonjolkan landskap pelaburan yang kondusif di negara ini.

"Ia juga memenuhi objektif Malaysia untuk menarik industri berteknologi tinggi yang tepat bagi meningkatkan kerumitan ekonomi negara, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Kami mengalu-alukan kemudahan baharu ini yang merupakan pencapaian penting bagi Enovix dan sangat menyokong matlamat NIMP dengan memupuk inovasi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan memacu pertumbuhan mampan.

“Ini berupaya memposisikan Malaysia sebagai hab global untuk teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest-in-Penang Bhd dan Enovix hari ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata negeri ini mendapat penghormatan kerana dipilih untuk menempatkan kemudahan itu yang akan membawa kepada limpahan teknologi dan ekonomi bukan sahaja untuk Pulau Pinang tetapi juga bagi wilayah utara Semenanjung Malaysia.

"Majlis perasmian hari ini untuk kemudahan pembuatan berkapasiti tinggi pertama Enovix di Malaysia menandakan permulaan babak yang menarik bagi syarikat ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan besar Enovix di Malaysia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keupayaan teknologi dalam tenaga kerja.

"MIDA berbangga menyokong Enovix dalam misinya untuk merevolusikan teknologi bateri dan kami percaya kepakaran canggihnya akan memberi kesan berganda kepada ekosistem domestik kami.

"Sebagai rakan kongsi, kami komited untuk memberikan sokongan dan kemudahan yang diperlukan oleh Enovix untuk berjaya, dan kami yakin kehadirannya akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dan rakyat. Kami berharap dapat bekerjasama dengan rapat dengan Enovix untuk mencapai matlamat dan membuat perbezaan dalam industri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Enovix Datuk Ajay Marathe berkata Fab2 mempamerkan proses pembuatan yang maju untuk bateri terkini yang dipercayai akan membuka era baharu untuk pelanggan-pelanggan terkemuka.

“Kami dapat memanfaatkan bakat teknikal di Malaysia dan menghargai iklim perniagaan yang mesra serta lokasi yang berhampiran dengan pelanggan dan vendor kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan