AM

FAHMI MINTA KDJA BANTU BERNAMA KENAL PASTI AHLI MEDIA UZUR, HILANG PEKERJAAN

08/08/2024 06:06 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) membantu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengenal pasti pengamal media yang terkesan akibat masalah kesihatan dan kehilangan pekerjaan untuk dibantu di bawah Tabung Kasih@HAWANA.

Beliau berkata hampir 500 orang telah dibantu di bawah tabung itu yang diwujudkan sejak 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media sama ada masih dalam perkhidmatan mahupun sudah bersara, yang uzur atau memerlukan bantuan.

“Kalau boleh pihak KDJA membantu Bernama mengurus bantuan Tabung Kasih@HAWANA untuk memastikan rakan-rakan media yang terkesan akibat pelbagai isu, kurang sihat atau kehilangan pekerjaan mendapatkan bantuan dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan bersama ahli-ahli KDJA di sini hari ini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi juga sedang meneliti kaedah lain bagi membantu pengamal media khususnya dalam meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata ini termasuk petugas media yang bekerja dengan syarikat swasta untuk mendapat manfaat daripada dasar gaji progresif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Mekanisme dasar gaji progresif ini sudah ada. Kerajaan memperuntuk RM50 juta sebagai insentif untuk syarikat yang turut serta dan kita jangka ia dapat membantu sehingga sejuta pekerja,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan