JENAYAH & MAHKAMAH

DUA DITAHAN, PELBAGAI DADAH BERNILAI RM3.44 JUTA DIRAMPAS

08/08/2024 05:23 PM

JOHOR BAHRU, 8 Ogos (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah hasil rampasan pelbagai dadah bernilai RM3.44 juta dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Tangkak pada 3 Ogos hingga semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan itu turut menahan dua ahli sindiket berusia 33 dan 36 tahun.

“Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada 9 pagi 3 Ogos dan pemeriksaan menemukan dadah di dalam kereta yang dijadikan stor penyimpanan.

“Lelaki berusia 36 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Tangkak, semalam. Hubungan mereka adalah rakan sindiket pengedaran dadah dan kegiatan itu dipercayai aktif sejak Jun lepas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi mereka ialah dengan menjadikan kenderaan yang diparkir di sebuah pangsapuri di sini sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Kumar berkata dalam serbuan itu, polis merampas serbuk ekstasi seberat 18,634.60 gram, 115 botol jus minuman bercampur dadah (47.90 liter), 55 bekas jeli disyaki campuran ekstasi (1,674 gram), 17 peket ketamin (24.08 gram), 35 pil ekstasi (15.20 gram) dan 50 pil eramin 5 (13.60 gram) kesemuanya bernilai RM3.44 juta.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta, dua motosikal dan wang tunai RM160.

Rampasan dadah kali ini juga katanya merupakan yang pertama dalam bentuk ramuan jeli dengan setiap bekas jeli dadah dijual pada harga RM150 hingga RM200.

“Sindiket juga menjual secara kombo jeli dan dadah (cecair) pada harga RM480 serta percaya ia dijual kepada pelanggan tertentu.

“Sindiket ini juga menggunakan botol air minuman berperisa untuk campuran dadah yang dijual pada harga RM200 sebotol di pasaran. Biasanya sindiket akan menggunakan label minuman popular bagi mengelak kegiatan dikesan,” katanya.

Kumar berkata kedua-dua lelaki itu yang negatif terhadap dadah, namun memiliki rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman hingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes lain, beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan ketagihan terhadap rokok elektronik (vape) mengandungi ‘cendawan ajaib’ atau magic mushroom yang mudah didapati dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata risikan akan dibuat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kegiatan itu, namun setakat ini tiada laporan diterima berkaitan penggunaan magic mushroom.

“Saya sudah arahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri untuk jalankan risikan dan saya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan magic mushroom supaya menyalurkan maklumat menerusi talian hotline 012-2087222,” katanya.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan terdapat peningkatan kumpulan pelajar sekolah di bandar raya ini dikhuatiri ketagih rokok elektronik mengandungi magic mushroom yang mudah didapati.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A Habib Syed Sallilah Aasad dilaporkan berkata apa yang membimbangkan, kini wujud sekumpulan penjual yang menyasarkan jualan dalam kalangan remaja.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan