DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH AKHIRI KENAIKAN DUA HARI BERTURUT-TURUT

08/08/2024 07:20 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini mengakhiri kenaikan dua hari berturut-turut susulan ketidakpastian berhubung dasar penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) dan Bank of Japan (BoJ), kata seorang peniaga. 

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kebimbangan yang membelenggu pelabur adalah sama ada BoJ tidak akan menaikkan langsung kadarnya dan sama ada Fed AS akan memilih penurunan 25 atau 50 mata asas. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.49 mata atau 0.09 peratus kepada 1,590.38 daripada paras penutup 1,591.87 pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka rendah turun 5.91 mata kepada 1,585.96 dan bergerak antara paras 1,579.69 dan 1,593.24 sepanjang sesi dagangan hari ini. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 651 berbanding 445, dengan 467 kaunter tidak berubah, 880 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung. 

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.31 bilion unit bernilai RM3.09 bilion daripada 5.12 bilion unit bernilai RM4.02 bilion.

Innes menjangkakan keadaan turun naik pasaran berterusan sehingga mesyuarat Fed yang akan datang pada September.

"Jadi, walaupun pasaran tempatan dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran tetapi mencatatkan prestasi lebih baik berbanding kebanyakan pasaran lain,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata aktiviti pengambilan untung muncul dalam saham wajaran tinggi terpilih sektor perbankan dan utiliti dengan para pelabur mengumpul keuntungan daripada kenaikan saham baru-baru ini. 

"Pada masa depan, kami menjangkakan keadaan turun naik ini akan berterusan dengan indeks utama dijangka berlegar pada paras psikologi 1,600," katanya.

Beliau juga berkata para pelabur akan memantau rapat pengumuman data mingguan tuntutan pengangguran AS pada malam ini selain pengumuman data pengeluaran perindustrian dan pengangguran Malaysia esok. 

"Dari segi teknikal FBM KLCI berada dalam aliran positif selepas pulih daripada penurunan intra harinya. Paras rintangan jangka terdekat dilihat pada 1,600 mata manakala paras sokongan pada 1,530 mata,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank tidak berubah pada RM10.14, Public Bank susut dua sen kepada RM4.22, IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM6.19, manakala Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM14.0 dan Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM5.47. 

Manakala dalam kalangan kaunter cergas, Cape EMS mengukuh empat sen kepada 47.5 sen, Techna-X naik 3.5 sen kepada 13.5 sen, Saudee menokok setengah sen kepada 2.5 sen, Hubline susut setengah sen kepada sembilan sen dan Ekovest berkurangan dua sen kepada 39 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 31.04 mata kepada 12,070.66, Indeks FBMT 100 susut 28.82 mata kepada 11,721.98, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 24.97 mata kepada 12,189.74, Indeks FBM ACE jatuh 18.08 mata kepada 5,199.39, dan Indeks FBM 70 susut 108.84 mata kepada 17,439.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 41.20 mata kepada 18,019.61, Indeks Perladangan jatuh 11.87 mata kepada 7,037.64, Indeks Utiliti berkurangan 11.71 mata kepada 1,746.43, Indeks Tenaga turun 1.67 mata kepada 909.92, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.09 mata kepada 178.03.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.42 bilion unit bernilai RM2.71 bilion daripada 3.44 bilion unit bernilai RM3.66 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.41 bilion unit bernilai RM207.52 juta daripada 958.36 juta unit bernilai RM124.65 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 472.19 juta saham bernilai RM172.03 juta daripada 714.17 juta saham bernilai RM226.02 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 292.50 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (728.79 juta), pembinaan (257.40 juta), teknologi (211.69 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (88.46 juta), hartanah (260.16 juta), perladangan (16.14 juta), REITs (22.07 juta), dana tertutup (37,600), tenaga (194.84 juta), penjagaan kesihatan (58.30 juta), telekomunikasi dan media (52.52 juta), pengangkutan dan logistik (168.35 juta), utiliti (75.72 juta) dan amanah perniagaan (221,800).

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan