JENAYAH & MAHKAMAH

SETIAUSAHA AGUNG MUDA DIBENAR RUJUK PERSOALAN BERKAITAN AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012

08/08/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amir Hariri Abd Hadi untuk merujuk persoalan perlembagaan berhubung Akta Perhimpunan Aman 2012 ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat persoalan perlembagaan yang perlu ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam prosiding jenayah terhadap Amir Hariri, 33, di Mahkamah Majistret dua tahun lepas.

"Persoalan itu ialah sama ada Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak asasi untuk berhimpun secara aman," katanya.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Joshua Tay dan Beatrice Chin manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman.

Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkaitan perhimpunan 'Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Selaku penganjur, beliau didakwa gagal memaklumkan pegawai polis yang menjaga Daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang 14 Ogos 2022.

Amir Hariri didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan