JENAYAH & MAHKAMAH

SEBABKAN KEMATIAN RAKAN: LELAKI ROHINGYA TUKAR PENGAKUAN KEPADA TIDAK BERSALAH

08/08/2024 08:05 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki Rohingya yang sebelum ini mengaku menyebabkan kematian rakan senegaranya tujuh tahun lepas, hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini.

Mohamad Qarim Abdul Razak, 42, menukar pengakuan selepas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibacakan dalam Bahasa Myanmar di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

Pada 29 Julai lepas, dia mengaku menyebabkan kematian Abdul Khalid Abdul Hadir di Jalan Pak Madah, Bukit Payung, Marang pada 11.20 malam 18 Mac 2017 bersama tiga lagi rakannya yang telah dijatuhi hukuman.

Prosiding hari ini adalah bagi mendengar fakta kes dan rayuan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman. 

Mahkamah menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Hassan membenarkan permohonan peguam Mazlan Md Zain daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh menarik diri atas faktor kesihatan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan