AM

10 PELAJAR TERIMA PERANTI MADANI (PERMAI) DI PERAK

08/08/2024 09:34 PM

TELUK INTAN, 8 Ogos (Bernama) -- Sepuluh pelajar di Perak terpilih menerima Bantuan Peranti MADANI (PERMAI) bagi membolehkan mereka tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital di institusi pengajian tinggi (IPT). 

Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata program pengagihan komputer riba itu merupakan bukti kerajaan sentiasa menjaga kepentingan rakyat khususnya pelajar dari golongan miskin dan miskin tegar yang tinggal di luar bandar.

Beliau berkata Program Didik Kasih MADANI: Bantuan Peranti MADANI (PERMAI) itu merupakan inisiatif Unit Penyelerasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad. 

"Kerajaan menyediakan 145 unit komputer riba berserta tetikus tanpa wayar dan beg kepada pelajar seluruh negara untuk mereka yang benar-benar layak dengan peruntukan sebanyak RM260, 855 dan penggunaan komputer riba amat penting dalam kehidupan terutamanya melibatkan kepentingan pelajar.

“Kita tidak mahu masyarakat luar bandar khususnya kumpulan miskin dan miskin tegar ini ketinggalan dari arus kemajuan teknologi digital serta proses pengajian mereka terus terpelihara," katanya ketika berucap pada program pengagihan peranti itu di Dewan Pegawai Daerah, Bangunan Lama Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak dekat sin,  hari ini. 

Beliau berharap pemberian itu akan memberi semangat kepada pelajar dan dapat membantu mereka meneruskan pengajian dengan lebih berkesan.

"Saya yakin ia akan memudahkan urusan pengajian pelajar selain dapat menambah ilmu pengetahuan mereka dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran revolusi industri 4.0 yang dilihat sangat kompetitif," katanya.

Sementara itu, 10 pelajar terbabit turut menerima sumbangan berupa kotak makanan barangan keperluan asas untuk diserahkan kepada keluarga masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan