AM

UITM, PRIHATIN METERAI MOU PERKUKUH KERJASAMA JAGA KEBAJIKAN PELAJAR KURANG MAMPU

08/08/2024 04:34 PM

KUALA SELANGOR, 8 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dalam menjaga kebajikan pelajar yang kurang berkemampuan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Shahrin Sahib@Sahibuddin dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Prihatin Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Sahol Hamid dalam ucapannya berharap melalui perjanjian itu Prihatin dapat melaksanakan pelbagai program kepada pelajar UiTM seperti khidmat masyarakat, pembangunan modal insan pelajar, bantuan sara hidup, bantuan peralatan dan inisiatif lain.

“Prihatin telah memulakan pelbagai inisiatif kepada pelajar UiTM pada tahun ini antaranya penyerahan sumbangan bakul makanan kepada Dapur HEP UiTM pada 16 Julai lepas dan penyerahan mesin penapis air di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) sebagai langkah proaktif membantu universiti itu menjaga kebajikan pelajar dan semua pihak berkepentingan. 

“Selain itu, Prihatin turut menyampaikan beberapa bantuan berbentuk wang tunai, barangan elektronik, keperluan asas dan cermin mata kepada mahasiswa di UiTM Shah Alam dan beberapa cawangan UiTM lain dalam siri sebelum ini,” katanya pada majlis yang berlangsung di HASA di UiTM cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di sini.

Sahol Hamid berkata UiTM menjadi universiti ke-16 menandatangani MoU dengan Prihatin dan pihaknya telah membelanjakan lebih RM10 juta bagi menjayakan program kebajikan khususnya melibatkan pelajar kurang berkemampuan di institut pengajian tinggi berkenaan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan