DUNIA

OLIMPIK PARIS: LYLES RAIH GANGSA ACARA 200M LELAKI, MESKIPUN POSITIF COVID-19

09/08/2024 09:23 AM

PARIS, 9 Ogos (Bernama-dpa) -- Pelari pecut Amerika Syarikat, Noah Lyles mendedahkan bahawa beliau bertanding dalam acara 200 meter (m) lelaki di Sukan Olimpik hanya dua hari selepas disahkan positif COVID-19.

Lyles, yang memenangi acara 100m pada Ahad, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara 200m, dengan emas menjadi milik atlet Botswana, Letsile Tebogo.

Lyles dilaporkan memakai pelitup muka di bilik panggilan sebelum perlumbaan dan mencetuskan spekulasi, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.

"Saya dijangkiti COVID-19. Saya disahkan positif sekitar 5 pagi Selasa.

"Saya terjaga di tengah malam dalam keadaan sakit badan, sakit tekak dan tidak sihat.

"Itu adalah antara simptom yang saya alami sebelum dijangkiti COVID.

"Kami melakukan ujian dan hasilnya positif. Kami segera menjalani kuarantin di sebuah hotel berdekatan (Perkampungan Olimpik)...

"Saya masih mahu berlumba, ia masih boleh dilakukan, kami hanya perlu mengasingkan diri daripada semua orang.

"Saya tahu jika saya mahu menang, saya perlu memberikan segala yang saya ada sejak dari awal. Saya tidak mempunyai masa untuk menyimpan tenaga. Itu adalah strateginya.

"Ia pasti menjejaskan prestasi saya. Saya terpaksa berehat banyak kali. Saya batuk sepanjang malam.

"Saya lebih bangga dengan diri sendiri daripada apa-apa pun, dapat memenangi gangsa dengan keadaan dijangkiti COVID," katanya.

-- BERNAMA-dpa

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan