KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menerima anugerah MADANI Community Achievement Award pada Majlis Anugerah Industri Malaysia (MINDA), malam tadi.
Ramanan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan anugerah itu diberikan oleh Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Terima kasih kepada FMBA di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Malik Abdullah yang telah memberikan penghormatan ini kepada saya. Saya cukup terharu. Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan kepada diri saya dan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya akan teruskan melakukan yang terbaik demi menjamin harapan rakyat. Inilah janji dan komitmen saya yang sentiasa konsisten. Kita perlu memastikan agenda Malaysia MADANI dapat dijayakan secara bersama dan bersatu,” katanya.
Anugerah yang dianjurkan buat kali kedua oleh FMBA adalah bagi mengiktiraf 36 usahawan dan syarikat cemerlang dalam pencapaian membina perniagaan mereka seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
-- BERNAMA