AM

MINI KUD@FESTIVAL D'BENDANG BERPOTENSI JADI ACARA TAHUNAN ZON SELATAN

09/08/2024 08:31 PM

JASIN, 9 Ogos (Bernama) -- Program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@ Festival D'Bendang 2024 mampu menjadi platform bagi usahawan desa untuk meningkatkan ekonomi dan meluaskan jangkauan pasaran produk yang dihasilkan. 

 Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata program itu juga berpotensi untuk dijadikan acara tahunan bagi zon selatan seperti penganjuran Pesta Angin Timur di Perlis. 

“Usahawan setempat di Melaka dan sempadan Johor-Melaka perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan segala maklumat dan fungsi KKDW serta agensi bagi memajukan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Program Mini KUD@ Festival D' Bendang di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini hari ini. 

Mini KUD@ Festival D'Bendang 2024 selama tiga hari bermula hari ini telah menarik lebih 150 usahawan luar bandar termasuk 57 usahawan di bawah KKDW dan agensi serta 104 penjaja kecil tempatan khususnya usahawan Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di bawah pentadbiran kerajaan Melaka. 

Program yang turut menyasarkan penglibatan usahawan luar bandar berpotensi itu menampilkan pemenang Rural Business Challenge (RBC) sebagai inspirasi kepada usahawan lain. 

"Keunikan program ini adalah gabungan elemen usahawan melalui Mini KUD dan unsur kedesaan melalui Festival D’Bendang,” katanya.

Muhd Khair Razman berkata KUD peringkat kebangsaan akan dianjurkan pada Julai tahun hadapan, serentak dengan Sambutan Hari Peneroka di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor dan bakal menghimpunkan usahawan desa dari seluruh negara. 

Sementara itu, pengusaha cendawan tiram Mohd Syukor Ahmad, 45, berkata program Mini KUD@Festival D’Bendang itu mampu menjadi platform kepada usahawan sepertinya memperoleh lebih banyak ilmu, pendedahan, maklumat dan garis panduan berkaitan perniagaan diusahakan daripada agensi yang turut sama menyertai program berkenaan. 

"Paling utama, bantuan dan garis panduan yang diberikan oleh KKDW dan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta dan Lembaga Pertubuhan Peladang banyak membantu saya untuk bertahan dalam perniagaan cendawan tiram yang diusahakan sejak 2009, terutama ketika pandemik COVID-19," katanya yang juga pemenang Anugerah RBC 2013.

Pengusaha produk seramik Bendang Studio Rozana Musa, 42, pula berkata program anjuran KKDW seperti Mini Program KUD banyak membantunya mengembangkan perniagaan yang diusahakan sejak 14 tahun lepas terutama melibatkan aspek pemasaran terhadap kumpulan sasar.

"Kita bukan sahaja boleh kenal kumpulan sasar yang pelbagai tetapi pada masa yang sama memberi peluang kepada usahawan mendidik masyarakat bagaimana memulakan perniagaan dan meluaskan pasaran produk berpotensi yang dihasilkan," katanya yang telah menghasilkan lebih 10,000 produk terdiri daripada pinggan mangkuk, cawan dan hiasan daripada seramik. 

Sebanyak 25 pempamer termasuk pelbagai agensi di bawah KKDW akan terlibat dengan menumpukan kepada keusahawanan, pendidikan serta penawaran kemudahan khidmat nasihat.

Program Mini KUD@ Festival D'Bendang 2024 dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan