SUKAN

MINTRED ANJUR KARNIVAL SEMPENA SUKMA

09/08/2024 09:05 PM

KUCHING, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) akan menganjurkan Karnival Sukan Malaysia (SUKMA), sempena temasya sukan itu bulan ini.

MINTRED dalam satu kenyataan memaklumkan Karnival SUKMA merupakan program jualan produk usahawan seperti makanan, minuman serta trak makanan dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Menurut kenyataan itu karnival tersebut akan diadakan di semua lokasi yang akan terlibat dengan SUKMA seperti di Dataran Perayaan Petra Jaya, Stadium Tertutup Sibu dan Stadium Miri.

“Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memeriahkan lagi Karnival SUKMA, antaranya persembahan kebudayaan, promosi produk pelancongan, pertandingan karaoke, demonstrasi masakan, demonstrasi produk, pertandingan mewarna dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.

SUKMA 2024, yang dijadualkan dari 17 hingga 24 Ogos, akan dianjurkan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Temasya kali ini akan mempertandingkan 488 acara, merangkumi 37 sukan, terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita, dan 35 acara campuran, serta dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan