AM

ANWAR ZAHIR PENGHARGAAN ATAS KHIDMAT DAN BAKTI MOHD ZUKI

09/08/2024 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas perkhidmatan dan bakti yang dicurahkan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bersara sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar mendoakan agar Mohd Zuki terus sukses dalam hidup dan diberkati.

“Kepada Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bersara sebagai KSN dan penjawat awam secara rasmi esok, saya zahirkan penghargaan atas perkhidmatan dan bakti yang dicurahkan dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun ini.

“Terima kasih, moga terus sukses dalam perjalanan hidup seterusnya dan diberkati Yang Maha Esa,” katanya menerusi kenyataan itu.

Mohd Zuki, 62, mula memegang jawatan sebagai KSN pada 31 Dis 2019 dan dilantik semula secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Rabu lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai KSN yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos ini.

Dalam hantaran sama, Anwar turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Shamsul Azri.

“Semoga dasar-dasar kerajaan terus dilaksanakan dengan cekap dan berkesan hatta menyumbang kepada pembangunan serta kejayaan negara,” katanya.

Shamsul Azri, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) daripada Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat.

Beliau turut menerima pendedahan di beberapa institusi antarabangsa antaranya Universiti Cambridge, United Kingdom dan Institut Pentadbiran Perniagaan Eropah (INSEAD).

Shamsul Azri memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam serta pentadbiran kerajaan negeri.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan