AM

PM ANWAR UCAP TAHNIAH KEPADA KETUA PENASIHAT KERAJAAN SEMENTARA BANGLADESH

09/08/2024 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada pemenang hadiah nobel Dr Muhammad Yunus atas pelantikannya sebagai Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh.

Anwar berkata dengan pengalaman luas, beliau pasti akan mampu untuk membimbing negara itu dengan kebijaksanaan dan integriti.

“Ketika fajar baru menyingsing ke atas Bangladesh, dipacu oleh tenaga dan visi belia negara, mengingatkan saya kata-kata pelukis, penyair, ahli falsafah Bengali, Rabindranath Tagore:

“Bila mana minda dipimpin oleh-mu ke arah pemikiran dan tindakan yang semakin meluas; ke dalam syurga kebebasan itu, ayahanda ku, biarlah negaraku bangkit,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada detik penting bersejarah ini Perdana Menteri mengharapkan kejayaan yang cemerlang dan masa depan gemilang untuk rakyat Bangladesh.

Semalam, Yunus, 84, mengangkat sumpah jawatan untuk mengetuai kerajaan peralihan 17 anggota di Bangladesh.

Ia berlaku selepas protes berminggu-minggu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Liga Awami Perdana Menteri Sheikh Hasina.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan