AM

DUA PELAJAR KOLEJ MAUT DALAM KEMALANGAN

10/08/2024 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Dua pelajar kolej lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah kereta jenis Mercedes dari arah bertentangan dalam kemalangan di Jalan Cheras, di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam kejadian 6.43 pagi itu, kereta Mercedes yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai terbabas sebelum melanggar kenderaan dinaiki mangsa serta lima kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Ekoran kemalangan itu, dua penumpang kenderaan Ford Ranger, masing-masing berusia 22 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami, manakala rakan mereka iaitu pemandu kenderaan itu, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kereta Mercedes berkenaan memandu di bawah pengaruh alkohol dan polis telah menahan lelaki itu untuk disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

Mohd Zamzuri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan