AM

PKD MOBILE AKAN DIPERLUAS KE N. SEMBILAN, SABAH - RUBIAH

10/08/2024 07:15 PM

MIRI, 10 Ogos (Bernama) -- Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile akan diperluas ke Negeri Sembilan dan Sabah dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata PKD Mobile Sarawak di Niah, Miri hari ini merupakan siri PKD Mobile yang ketiga pada tahun ini dengan dua lagi sasaran PKD Mobile adalah di Negeri Sembilan pada bulan September dan Sabah pada bulan Oktober.

“Selain PKD Mobile, kementerian turut merancang melaksanakan 13 siri Mini PKD Mobile di setiap negeri di seluruh negara yang mana Mini PKD Mobile ini dilaksanakan mengikut konsep yang sama dengan PKD Mobile tetapi pada skala yang lebih kecil dan lokasi program juga lebih jauh dari bandar atau di pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program PKD Mobile di Dewan Terbuka Sepupok, Niah, Miri di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Sibuti Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Menyentuh mengenai PKD fizikal, Rubiah berkata sehingga kini terdapat enam PKD di Sarawak daripada 191 PKD di seluruh negara.

“Program ini akan terus dilaksanakan kerana terbukti mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat setempat di tiga lokasi yang telah dilaksanakan PKD Mobile tahun lepas iaitu di Gerik, Perak; Nabawan, Sabah dan di Kota Samarahan, Sarawak dan pada tahun ini iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Tahan, Jerantut, Pahang,” katanya.

Menurut KKDW, sebanyak 21,916 program pemerkasaan PKD telah dijalankan meliputi kursus serta aktiviti komuniti dengan penglibatan peserta dan penerima manfaat seramai 658,314 orang.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan