AM

SUKMA 2024 TARIK HAMPIR 3,000 SUKARELAWAN, MAJORITI GOLONGAN MUDA

10/08/2024 07:09 PM

KUCHING, 10 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 2,946 petugas yang majoritinya golongan muda akan berkhidmat sebagai sukarelawan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17-24 Ogos ini, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Gerald Rentap Jabu.

Beliau yang juga Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak berkata kesemua sukarelawan tersebut telah didedahkan dengan pelbagai latihan serta kemahiran khususnya dalam memberikan bantuan kecemasan sepanjang temasya itu nanti. 

“Jumlah itu mencukupi untuk ditempatkan di kesemua 49 venue di seluruh Sarawak dan angka tersebut tidak termasuk pegawai kerajaan yang turut ditugaskan di setiap venue, jadi secara keseluruhan ia mencecah lebih 3,000 orang.

“Cabaran kepada sukarelawan nanti terutamanya melibatkan perlawanan di ruang terbuka ialah faktor cuaca, jadi kita harapkan dengan pendedahan latihan kemahiran hidup dan peralatan pertolongan kecemasan yang disediakan, mereka dapat membantu pegawai kesihatan kita juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Sukarelawan SUKMA 2024 di sini hari ini. 

Gerald berkata penglibatan anak muda sebagai sukarelawan SUKMA 2024 memberi impak positif kepada kerajaan negeri sekiranya Sarawak menjadi hos bersama untuk penganjuran Sukan SEA 2027.

“Memandangkan kita dah ada data mereka, jadi di Sukan SEA 2027 atau acara sukan besar-besaran nanti kita tiada masalah memanggil mereka semula untuk berkhidmat sebagai sukarelawan. 

“Jadi, ini memberi kita semangat dan belia Sarawak mahu menyahut cabaran merasai sendiri bertugas di temasya seperti SUKMA” katanya. 

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan