AM

USAH BERTELAGAH, BERSAMA 'BUBUT' PENYELESAIAN LAKSANA MA63 - EWON

11/08/2024 02:59 PM

PENAMPANG, 11 Ogos (Bernama) -- Semua pihak terutama pemimpin diminta untuk tidak bertelagah dan mencari silap sesama sendiri, sebaliknya bersama ‘bubut’ atau giat berusaha mencari penyelesaian bagi melaksanakan Perjanjian Malaysia (MA63) dengan sempurna.

Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata setiap pihak mempunyai cara dan kaedah berbeza dalam mencari penyelesaian namun bermatlamat sama iaitu memberikan yang terbaik untuk rakyat Sabah.

Justeru, katanya setiap pihak terutama parti yang berjuang merealisasikan kandungan MA63 perlu saling melengkapi dan hal itu merupakan pendirian UPKO dalam mendepani perkara berkaitan perlaksanaan MA63.

“Usahlah mencari siapa dan di mana silapnya, sebaliknya kita terus bertekad untuk ‘membubut’ (mengejar) solusinya. Usahlah kita bertengkar, sebaliknya perlu mengukuhkan kesatuan mendapatkan hak kita kerana hak perlembagaan ini bukan milik mana-mana parti, tetapi hak rakyat Sabah.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan terus menyokong pertubuhan lain yang mahu mengangkat pemuktamadan perkara ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional UPKO 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew, Presiden Kehormat UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Ewon berkata hingga 28 Mei lepas, 10 daripada 29 perkara atau tuntutan asas berkaitan MA63 telah berjaya diselesaikan, empat belum selesai tetapi telah mempunyai keputusan dasar, sembilan belum selesai tetapi dalam perbincangan dan lima pada status setuju untuk tidak bersetuju. 

“...manakala satu lagi perkara berkaitan kajian semula pemberian khas bagi Sabah telah mempunyai penyelesaian interim,” kata Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 

Sementara itu, beliau berkata dalam berjuang merealisasikan MA63, parti itu juga perlu tegas dengan pendirian menolak sebarang propaganda luar yang mahu menuntut Sabah sebagai milik mereka. 

“Mari kita hargai komitmen dan ketegasan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan rakan pimpinan Kerajaan MADANI memberi respons tegas apabila ada pihak cuba menggugat kedaulatan negara kita di Sabah. Parti kita harus berbangga berada dalam pimpinan negara melawan sehingga berjaya dalam tuntutan Sulu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa ahli UPKO supaya terus memastikan kawasan rumah, pemilikan tanah dan perusahaan ekonomi masing-masing bebas pendatang haram serta tidak bersekongkol dengan kumpulan tersebut.

“Jangan menyewakan rumah dan premis kepada mereka. Cegah sebelum melarat, lapor untuk membanteras. Ini merupakan usaha asas di mana kita boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian supaya kedaulatan dan kemerdekaan kita terus dipertahankan,” katanya.

-- BERNAMA  

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan