POLITIK

PH SABAH RAKAM PENGHARGAAN TERHADAP KOMITMEN PERDANA MENTERI

11/08/2024 01:40 PM

KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Sabah merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmennya terhadap usaha melaksanakan pelbagai perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam satu kenyataan hari ini PH Sabah berkata hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dan berjaya menyelesaikan beberapa perkara mengenainya di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63), memang tidak boleh dinafikan.

PH Sabah yang dianggotai PKR, DAP, UPKO dan Amanah di negeri itu berkata ia merupakan kali pertama beberapa tuntutan di bawah MA63 diselesaikan selepas 61 tahun pembentukan Malaysia.

“..perkara seperti pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang telah mengembalikan kedudukan asal Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan apabila Malaysia dibentuk.” menurut kenyataan itu.

PH Sabah berkata ini adalah perkembangan positif dan penting yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membetulkan keadaan, dengan mengiktiraf peranan dan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

“Melalui pembentukan MTPMA63 oleh Kerajaan Persekutuan, permintaan dalam beberapa bidang penting dilihat telah diberikan dan dikembalikan semula ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

PH Sabah memberi contoh perkara seperti penyerahan kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah serta pemberian kuasa ke atas pelesenan dan perikanan laut dalam kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Turut diselesaikan sepenuhnya ialah seperti pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); dan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 untuk melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli tetap lembaga itu.

“Bukan sahaja penyerahan kuasa mengawal bekalan gas di Sabah; malah pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak; peruntukan garis panduan pemindahan semula tanah dikhaskan untuk Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa pengawalseliaan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah, juga telah diselesaikan,” menurut kenyataan itu.

PH Sabah berkata ini hanyalah beberapa perkara yang telah dipersetujui, dan terdapat banyak lagi bidang yang masih sedang dikenal pasti dan dibincangkan.

Selain itu, perlu diakui bahawa bahawa perbincangan dan rundingan ini adalah rumit dan pada masa yang sama, melibatkan perkara perundangan kompleks yang memerlukan pemeriksaan dan pertimbangan terperinci, kata PH Sabah.

“Namun apa yang pasti ialah kita mempunyai Perdana Menteri yang telah bersetuju dan membenarkan perkara ini dibincangkan, dikaji dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

“Belum pernah berlaku dalam sejarah negara kita mempunyai Perdana Menteri yang telus, menghormati perjanjian sejarah, dan keikhlasan untuk memberikan pemerkasaan kewangan yang tulen kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Dengan perkembangan positif ini, kita bukan sahaja berharap, tetapi kita juga yakin bahawa melalui keikhlasan, komitmen dan kepimpinan Perdana Menteri kita, ia akan memastikan bahawa akhirnya apa yang menjadi hak dan secara perlembagaan menjadi milik Sabah dan Sarawak, pasti akan dihormati dan diserahkan,” tambahnya.

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan