POLITIK

SIFAT TAQIYYAH PERLU DIUBAH WALAU ADA PERBEZAAN PENDAPAT - AHMAD ZAHID

11/08/2024 03:53 PM

JASIN, 11 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin pembangkang agar tidak mengamalkan sifat taqiyyah atau berpura-pura, semata-mata kerana mahu mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata ada terdapat beberapa negeri diterajui pembangkang yang dilihat tidak bersyukur dengan apa yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan.

“Kita ketahui bahawa terdapat negeri-negeri yang tidak mempunyai keserasian, namun kita amat mengagumi sikap keterbukaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri di dalam memberikan peruntukan.

“..namun ada negeri yang tak bersyukur dengan apa yang diperolehi. Dalam keadaan yang begini kita lihat di hadapan kelihatan muka pemimpin-pemimpin manis, tapi di belakang terutama ketika pilihan raya, maki dan fitnah terus berjalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan