AM

EMPAT KAWASAN DI MASJID TANAH DILANDA BANJIR KILAT

11/08/2024 05:19 PM

MELAKA, 11 Ogos (Bernama) -- Empat kawasan di Masjid Tanah, Alor Gajah iaitu Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, Taman Masjid Tanah Ria dan Durian Daun dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka memaklumkan pihaknya kini dalam proses memindahkan mangsa ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di PPS Balai Raya Paya Lebar dan PPS Balai Raya Seri Tanjung.

Sidang Kampung Ramuan China Besar Khairul Anwar Mansol berkata hujan lebat berterusan sejak 5 pagi menyebabkan rumahnya di Taman Bandar Baharu, Masjid Tanah dinaiki air pada paras pinggang.

“Air mula naik di taman perumahan ini kira-kira pukul 10 pagi tadi dan saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah…hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja.

“Sekarang ini saya bersama isteri dan tiga anak berusia antara 8 hingga 14 tahun berlindung di sebuah kedai berdekatan rumah kerana kawasan ini sedikit tinggi dan tidak dinaiki air,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata ini kali pertama taman perumahan itu yang dihuni lebih 300 keluarga dilanda banjir kilat.

Katanya selain Taman Bandar Baharu Masjid Tanah, beberapa kawasan berdekatan seperti Lubok China, Paya Lebar dan Sungai Siput turut dinaiki air.

“Saya tengok keadaan air mulai surut walaupun hujan renyai-renyai masih berlaku ketika ini dan berharap agar dapat pulang ke rumah secepat mungkin untuk membersihkan kediaman,” katanya.

Sementara itu, penternak lembu, Muhammad Nabil Irfan Ibrahim, 22, berkata beliau bersyukur dapat melepaskan kira-kira 20 ekor lembu yang dipeliharanya di sebuah kandang di Kampung Ramuan China Besar.

Beliau berkata air mula naik di kandang lembunya kira-kira pukul 12 tengah hari tadi selepas hujan lebat bermula 7 pagi.

“Saya terpaksa meredah air paras dada bagi melepaskan lembu yang diternak dan bersyukur tiada ternakan yang mati.

“Ini merupakan kali ketiga air naik di kawasan saya ternak lembu ini, bagaimanapun air mulai surut petang ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan