AM

JWP TINGKATKAN INFRASTRUKTUR, INISIATIF KEBAJIKAN DI LABUAN

11/08/2024 09:59 PM

LABUAN, 11 Ogos (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menegaskan akan terus komited dalam meningkatkan kebajikan rakyat dengan menambah baik aspek infrastruktur dan perkhidmatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata untuk itu, JWP telah membangunkan beberapa siri program bagi memastikan keperluan asas penduduk dapat dipenuhi.

Beliau berkata antaranya melalui program MYGROCER@Wilayah dan Tamu Budaya, iaitu penjualan barangan keperluan asas yang ditawarkan pada harga rendah.

“Program MYGROCER@Wilayah ini merupakan sebahagian usaha JWP untuk meringankan beban kewangan rakyat.

“Setakat ini, ia telah beroperasi di sekurang-kurangannya 26 kampung di seluruh pulau bebas cukai ini,” katanya pada majlis pelancaran MYGROCER@Wilayah di Kampung Bukit Kalam di sini hari ini.

Beliau berkata program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Jabatan Kesihatan, dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Selain inisiatif tersebut, Dr Zaliha turut mengumumkan peruntukan RM1.9 juta oleh JWP bagi pembinaan Dewan Orang Ramai di Kampung Patau-Patau, projek yang bermula Februari 2023 dan telah siap beberapa hari lepas.

Beliau berkata JWP dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), juga menyediakan tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi membantu 900 peniaga kecil di Labuan.

--BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan