EKONOMI

MOSTI BANGUNKAN MII BAGI TINGKATKAN PRESTASI EKONOMI - CHANG

12/08/2024 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membangunkan Indeks Inovasi Malaysia (MII) sebagai kaedah pengukuran untuk menyokong keperluan dalam merancang strategi dan intervensi bagi meningkatkan prestasi inovasi di peringkat negeri.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata inisiatif itu akan seterusnya menyumbang kepada pencapaian prestasi negara dalam Indeks Inovasi Global (GII).

“Pemantauan petunjuk prestasi utama (KPI) dan inisiatif sebegini akan mendorong semua pihak bukan sahaja di peringkat kerajaan, tetapi juga industri dan akademia. 

“Penglibatan orang awam juga penting dalam memainkan peranan masing-masing untuk menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara dalam ranking GII supaya Malaysia dapat berdiri setanding dengan negara maju yang lain,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 di sini hari ini. 

MOSTI turut memperkenalkan inisiatif baharu, Gerbang Pengkomersialan, sebuah platform yang bertindak sebagai pusat sehenti yang mengintegrasikan pangkalan data hasil penyelidikan sedia ada. 

Chang berkata inisiatif itu akan memudahkan dan mempercepatkan operasi, sekali gus meningkatkan impak aktiviti pengkomersialan oleh agensi di bawah MOSTI.

Selain itu, katanya kementerian telah menyediakan enam dasar dan 12 pelan hala tuju untuk memastikan kedaulatan teknologi negara dengan menyediakan asas ekonomi yang kukuh berdasarkan rantaian produk/teknologi yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.  

“Berdasarkan dasar dan pelan hala tuju yang dilancarkan, anggaran keseluruhan sumbangan sektor strategik STIE (sains, teknologi, inovasi dan ekonomi) kepada KDNK negara dan global berjumlah RM9.21 trilion menjelang 2030,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan