AM

JANGAN ADA KETELANJURAN URUS BADAN BERASASKAN DANA AWAM - PM ANWAR

12/08/2024 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan badan berasaskan dana awam tidak dijadikan seperti ‘badan swasta’ dalam pelaksanaan program dan operasinya.

Beliau berkata ia bagi memastikan tiada sebarang ‘ketelanjuran’ yang cenderung kepada kepentingan perniagaan, ahli lembaga dan pengurusannya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyokong gesaan laporan Ketua Audit Negara supaya melakukan pemantauan lebih teliti dan cermat serta menjadikannya sebagai satu budaya baharu dalam ekosistem pekerjaan dalam meningkatkan tatakelola.

“Kita harus terima bahawa badan-badan seperti MRANTI (Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini diasaskan oleh dana awam.

“Oleh itu dalam memastikan pelaksanaan program, kita nak pastikan bahawa jangan ada ketelanjuran dalam memberikan fokus dan jangan jadikan badan-badan ini sama seperti badan swasta yang kadang-kadang melihat bukan sahaja dari segi perniagaan, tapi kepentingan ahli lembaganya dan pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan timbalannya Datuk Mohamad Yusof Apdal.

Anwar berkata pengurusan tidak harus terikat dengan prosedur dan kerangka tetap, sebaliknya harus bersedia membuka lembaran baharu menceburi ke dalam bidang kepakaran.

“Hebat kita bukan sahaja ketimbang tahun lepas atau 10 tahun dahulu. Hebat kita ketimbang yang dicapai dengan negara lain, sama ada negara jiran atau negara lain,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan