AM

PENDUDUK PERLIS DISERU PASANG JALUR GEMILANG, PAMER SEMANGAT CINTAKAN NEGARA - MB

12/08/2024 04:10 PM

KANGAR, 12 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menyeru rakyat di negeri itu memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing termasuk kediaman, premis perniagaan dan pejabat bagi menunjukkan semangat cintakan negara.

Beliau berkata memandangkan tahun 2024 dan 2025 merupakan Tahun Melawat Perlis, Jalur Gemilang perlu dipasang utuk menunjukkan kepada pelawat yang datang bahawa penduduk negeri inin memiliki semangat patriotisme yang tinggi.

"Ayuh kita hias setiap kediaman, premis perniagaan, pejabat dengan seberapa banyak Jalur Gemilang. Buktikan kepada masyarakat di luar sana, bahawa rakyat Perlis, rakyat yang patriotik dan cintakan negara,” katanya ketika berucap melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri di sini hari ini.

Selepas pelancaran itu, Mohd Shukri melepaskan konvoi Kempen Kibar Jalur Gemilang yang melibatkan tiga kumpulan kumpulan bagi mewakili setiap kawasan Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, pelbagai program telah diatur oleh agensi dan jabatan di Perlis antaranya seperti program kayuhan, larian patriotik, perarakan dan kibaran Jalur Gemilang serta acara kemuncak ialah Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada malam menjelang 31 Ogos nanti.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan