AM

SYARIKAT KUARI DIDENDA RM57,000, MILIKI 12,175 LITER DIESEL TANPA KEBENARAN

12/08/2024 11:44 PM

IPOH, 12 Ogos (Bernama) -- Sebuah syarikat kuari didenda RM57,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memiliki 12,175 liter diesel tanpa kebenaran, Mac tahun lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan malam ini berkata syarikat terbabit, Kesens Sdn Bhd membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Beliau berkata mahkamah turut menetapkan hasil penjualan rampasan minyak diesel dilucut hak untuk dijadikan hasil kerajaan Malaysia.

Kamalludin berkata syarikat itu mengaku bersalah melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, iaitu memiliki 12,175 liter minyak diesel yang merupakan barang kawalan berjadual sebagaimana dinyatakan dalam Ruang 1 Bahagian IV Jadual yang digunakan bagi perjalanan perniagaan, tanpa kebenaran Pengawal dan menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974.

“Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 16 Mac 2023, kira-kira 3 petang di mukim Hulu Kinta,” katanya.

Kamalludin berkata tindakan kes diambil berdasarkan pemeriksaan dilakukan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak di premis berkenaan didapati memiliki tiga skid tank yang mengandungi 12,175 liter minyak diesel tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.

Beliau berkata pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Muhammad Ridzuan Abd Rahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan