EKONOMI

KERAJAAN TELITI GUBAL DASAR TEKNOLOGI KUANTUM, PACU DAYA TAHAN SIBER - GOBIND

12/08/2024 04:09 PM

PETALING JAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Digital berhasrat menggubal satu dasar berkaitan teknologi kuantum atau komputer kuantum untuk terus meningkatkan usaha memperkukuh perlindungan data peribadi.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata kementerian akan meneliti aspek data secara menyeluruh untuk meningkatkan daya tahan infrstruktur siber, sekali gus mempersiap Malaysia bagi mendepani teknologi baharu berkenaan.

“Kita akan mengetengahkan sesuatu, diharapkan menjelang akhir tahun ini...perkara itu sedang diusahakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) antara Axiata Group Bhd, CyberSecurity Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membabitkan kerjasama dalam keselamatan siber.

Bernama menerusi laporannya pada minggu lepas menyatakan teknologi kuantum ini boleh melakukan penyulitan data dalam masa kurang daripada lima minit berbanding komputer biasa yang lazimnya mengambil masa bertahun, bakal menjadi cabaran baharu kepada sektor pertahanan siber negara.

Walaupun teknologi itu berupaya mempercepatkan tempoh pengkomputeran, ia turut berpotensi menyahsulit data-data yang terkandung dalam aplikasi seperti WhatsApp dalam tempoh beberapa minit.

Menjelaskan selanjutnya, sejajar dengan peningkatan ancaman siber di peringkat nasional dan global, Gobind juga berharap agar Akta Keselamatan Siber yang diwartakan pada 26 Jun lepas, dapat dikuatkuasakan pada bulan ini.

Menurutnya, ini memandangkan akta itu penting bagi membolehkan negara meningkatkan kesediaan dan pertahanan keselamatan siber selain membina daya tahan infrastruktur siber.

“Bagi saya, pada akhirnya, apa yang penting adalah ini memaparkan isyarat jelas, bukan setakat di dalam negara dan serantau, tetapi di peringkat dunia bahawa kita amat serius mengenai keselamatan siber ini,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 2021 hingga April 2024, seramai 95,837 mangsa jenayah siber di Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak RM3.18 bilion.

“Angka itu dipercayai lebih besar kerana ramai mangsa tidak tampil melaporkannya kepada pihak berkuasa atas pelbagai alasan.

“Sehubungan itu, penting bagi negara ini untuk menjejaki jenayah siber yang mendatangkan kesan buruk serius bagi mengaut untung atau manfaat politik,” katanya.

Dalam pada itu, MoU yang dimeterai hari ini menyaksikan Axiata Group Bhd, CyberSecurity Malaysia dan MDEC bersetuju menggalakkan transformasi digital, inovasi dalam keselamatan siber selai berkongsi sumber bagi mengenal pasti ancaman siber.

Pada masa sama, tiga pihak itu menjalin kerjasama dalam menggalakkan pembangunan kelaziman atau norma dan piawaian antarabangsa dalam keselamatan siber.

Bidang dalam kerjasama keselamatan siber itu termasuk perundingan bersama dan penilaian risiko siber melibatkan semakan kolaboratif, memerangi aktiviti berniat jahat, menangani insiden rentas sempadan serta berkongsi amalan terbaik tadbir urus keselamatan siber dan pengurusan risiko.

Turut dipersetujui adalah perkongsian risikan dan kepakaran pengesanan ancaman bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas insiden dan mewujudkan platform bersama untuk bertukar pandangan dan kepakaran penting bagi program pembangunan bakat profesional keselamatan siber. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan