EKONOMI

MALAYSIA AKAN METERAI MOU PERDAGANGAN, TUBUH MAJLIS PERNIAGAAN DENGAN PALESTIN

12/08/2024 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Jemaah Menteri bersetuju supaya Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Palestin, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pihaknya telah menerima kunjungan Duta Besar Palestin di Malaysia Walid Abu Ali di Menara MITI pagi tadi.

“Malaysia komited untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya yang lumpuh.

“MoU ini akan saya tandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawat saya dari Palestin,” katanya dalam hantaran di media sosialnya pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Palestin pada 2023 meningkat sebanyak 52.1 peratus atau RM20.8 juta berbanding pada 2022.

Perdagangan antara kedua-dua negara akan meningkat susulan pemeteraian MoU itu, katanya.

“Kita juga akan menubuhkan Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Palestin untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

“Segala usaha ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya

Beliau berkata kerajaan komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan negara-negara sahabat untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi isu Palestin.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan